Kuala Lumpur, 18 Ogos – Peminat filem tempatan pasti teruja apabila pengumuman telah dibuat oleh Jazzy Pictures (M) Sdn Bhd di satu majlis pra-tonton yang telah diadakan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur bahawa filem terbaru mereka TAKUT KE TAK bakal ditayangkan di pawagam pada 27 Ogos ini.
Filem TAKUT KE TAK diarahkan oleh pengarah muda Muzzamer Rahman. Beliau merupakan pemenang anugerah The Young Filmmakers Award 2015. Filem ini menggabungkan pelakon muda dan berpengalaman seperti Nabil Aqil, Ika Nabella, Fabian Loo, Arwind Kumar, Han Zalini, Daniella Sya, Delimawati, Ropie dan Sherry Aljeffri.
Majlis turut dihadiri wakil daripada pihak penerbit filem iaitu Jazzy Pictures, Magician Pictures, Fast Forward Films dan pengedar filem GSC Movies.
Filem TAKUT KE TAK menjanjikan aksi komedi segar dan menghiburkan untuk segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan muda. TAKUT KE TAK mula menjalani penggambaran pada bulan Januari tahun lalu di sekitar Lembah Klang.
Sebagai pengarah, Muzzamer Rahman amat berbangga untuk menjayakan filem ini kerana walaupun beliau kurang berpengalaman, namun dia telah diberikan kepercayaan untuk mengarah filem ini. Beliau berharap lebih ramai lagi pengarah muda berani menyahut cabaran untuk bersama-sama membantu industri filem tempatan.
Penerbit Eksekutif Joanne Goh selaku Pengarah Urusan, Jazzy Pictures mengharapkan TAKUT KE TAK menjadi filem tempatan yang berjaya mengekalkan sambutan penonton terhadap filem tempatan selepas PKP.
Takut Ke Tak mengisahkan tentang lima pelajar jurusan filem merancang untuk melakukan penggambaran di sebuah rumah berhantu, namun satu demi satu kejadian yang pelik dan seram berlaku terhadap mereka.
Dapatkah mereka keluar daripada perangkap rumah berhantu tersebut? Saksikan TAKUT KE TAK di pawagam bermula 27 Ogos ini!
Source: GSC Movies